قالوا عن الإخوان

بسم الله الرحمن الرحيم

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

El Nino, cerita pemanasan global..

بسم الله الرحمن الرحيم

La ni memang panas..panas macam-macam ada. Dok baca-baca kat blog-blog, terbaca kat Blog Tukar Tiub satu perkongsian daripada thericecooker. Saya pun nak kongsikan juga cerita ni;

Image


DIMANA PERGINYA KATAK HIJAU ITU?
oleh Hishamuddin Rais

Saya dibesarkan di Jelebu yang pada satu ketika dahulu dianggap kawasan pendalaman yang agak ulu. Konsep – Jelebu sebagai kawasan pendalaman Рkami terima kerana pada satu ketika dahulu daerah kami adalah tempat di mana orang-orang jahat Рgedebe dan gengster Рdi buang daerah. Dalam daerah pendalaman kami terdapat kawasan-kawasan bergunung ganang dan lembah-lembah hijau yang subur. Jelebu tersuruk dicelah-celah di kaki Banjaran Titiwangsa.

Di lereng-lereng bukit tertanam pokok-pokok getah. Di kawasan lembah di mana batang Sungai Klawang mengalir ke Sungai Pahang terdapat kawasan perkampungan sawah padi. Di musim menanam padi akan kelihatan beribu-ribu burung Tempua berpindah randah membuat sarang di sekitar kawasan sawah. Sarang mereka bergantungan di atas pohon rumbia atau pokok-pokok yang berhampiran dengan sawah. Burung-burung Pucung pula sering berkeliaran mencari belalang dan ulat serangga. Sesekali ternampak juga burung Bangau mencari anak –anak ikan.

Saya juga selalu ternampak burung Butbut – yang terbang rendah di pinggir kawasan sawah. Burung ini sering disurahkan sebagai memiliki rahsia untuk mengubat tulang yang patah atau seliuh. Manakala di dalam sawah pula akan ditemui pelbagai jenis ikan air tawar – sembilang, keli, puyu, sepat dan haruan. Di antara lopak-lopak sawah ini, jika ada lubuk-lubuk kecil pasti ianya akan menjadi tempat ikan bersarang. Di kawasan lubuk ini juga pasti ada lagi satu makhluk – katak hijau.

Ini bukan saya bernostalgia dan mengelamun tentang kampung. Saya menulis ini kerana pada hari ini semua yang saya tulis ini tidak lagi wujud di Jelebu. Sawah telah kering. Ada yang menjadi belukar. Ada yang dijadikan tapak rumah. Ada juga dijadikan kawasan kebun. Aliran air sungai pula semakin susut. Airnya masih jernih tetapi tidak lumayan seperti satu ketika dahulu.

Lalu saya bertanya ke mana perginya pelbagai jenis burung-burung yang pernah saya nampak dahulu. Di mana mereka mencari makan dan bersarang. Dan ke mana perginya katak hijau yang telah gagal menampilkan diri. Saya telah gagal melihatnya saya hampir 35 tahun. Apa telah terjadi? Saya selalu berfikir dan ingin mencari jawapan.

Bila teringatkan katak hijau ini saya teringat kembali kepada Amerika Latin. Saya sebenarnya tidak pernah sampai ke Amerika Latin. Tetapi pada tahun 1992 dahulu saya pernah menjadi pembantu penyunting sebuah filem dokumentari – Message from Elder Brothers Рuntuk stesen tv BBC. Filem ini ialah tentang masyarakat Kogi yang tinggal di atas banjaran pergunungan Andes di Amerika Latin. Masyarakat Kogi mengakui bahawa diri mereka adalah abang-abang tua kepada kita semua. Ini kerana mereka tinggal di kawasan pergunungan bersalji yang paling tinggi.

Melalui filem ini mereka ingin menyampaikan satu pesanan penting dan satu peringatan untuk adik-adik mereka ( kita semua ) yang tinggal di bawah gunung. Abang kita ini mengingatkan kita untuk berwaspada kerana salji semakin berkurangan di pergunungan Andes. Menurut abang tua kita, ini satu petanda yang tidak baik.

Filem dokumentari ini dibuat hampir 15 tahun dahulu. Rasa saya memang tidak ramai penonton yang ambil peduli. Ada yang menganggap dokumentri ini sebagai hiburan ringan. Tetapi ketika saya memotong filem ini saya dapat merasakan betapa pentingnya pesanan yang disampaikan oleh masyarakat Kogi ini. Pesanan ini mengingatkan saya kembali kepada masyarakat Maya yang telah mendirikan tamadun mereka di Amerika Latin. Tamadun ini cukup anggun dan tersebar luas. Pada zaman keagungan tamadun ini wujud 50 juta warga Maya. Mereka memiliki tulisan, mengetahui ilmu alam, ilmu bintang dan telah berjaya mendirikan kota-kota yang indah permai. Tamadun ini runtuh dan berakhir di antara 800/900 AD.

Bila kita melihat kembali kota-kota kuno tamadun Maya pasti ada di antara kita yang akan berani dan angkuh berkata – kenapa orang Maya ini bebal sangat memotong semua pokok-pokok di sekeliling wilayah mereka !

Lalu saya berfikir, tamadun Maya yang anggun lagi hebat itu pasti tidak runtuh dalam sekelip mata. Ianya bukan dilanda gunung berapi seperti kota Pompeii atau dilanggar tsunami seperti kota Acheh. Keruntuhan tamadun Maya pasti mengambil masa beratus tahun. Sedikit demi sedikit tamadun ini tergelincir tanpa disedari. Pasti wujud tanda-tanda awal tetapi mungkin telah tidak dipedulikan oleh orang-orang Maya pada ketika itu. Mereka tidak ambil ‘pot’ atau mereka gagal memahami tanda-tanda ini.

Apa yang sedang terjadi di daerah Jelebu pada ketika ini mungkin tanda-tanda awal. Burung Tempua, Butbut, Puyuh, Pucung dan Bangau yang telah tidak saya lihat lagi mungkin satu penanda. Ke mana agaknya burung-burung ini menghilangkan diri. Apakah mereka telah berpindah. Atau apakah spesies mereka telah pupus. Saya belum menemui jawapan. Malah saya belum pernah terbaca satu kajian untuk dapat menjawab kepada soalan saya ini.

Bila saya pulang ke kampung, orang kampung sering berkata bahawa musim telah berubah. Hujan dan panas datang tidak tentu masa. Musim buah pun telah susah hendak ditentukan. Jelebu yang biasanya kering pada bulan April, May dan Jun kini selalu pula hujan. Hakikatnya cuaca alam telah berubah.

Saya rasa kita semua amat sedar tentang perubahan cuaca ini. Hanya kita masih belum sedar apakah makna yang akan dibawa oleh tanda-tanda dari perubahan ini. Suhu cuaca semakin naik – ini telah menjadi pengetahuan umum. Hujan tidak lagi mengikut musim. Perubahan bukan hanya terjadi di Jelebu. Banjir melanda di sana sini Рbukan hanya di Kelantan. Kejadian perubahan cuaca ini bukan khusus kepada satu wilayah, sebuah mukim atau satu negara tetapi keseluruhan dunia hari ini sedang mengalami perubahan kenaikan suhu cuaca.

Bulan lalu Eropah telah di landa banjir. Sungai terpanjang di Eropah – Sungai Danube – melimpah. Sungai Meuse di Belgium melimpah sama. Dalam masa yang sama di Afrika Tengah musim kering terus memanjang. Kemudian saya terbaca tentang Orang Asli di Pahang membantah kerana hutan dara di wilayah kediaman mereka dipotong balaknya. Di Kedah Hutan Belum yang berumur 300 juta tahun kini sedang diancam oleh pembalakan haram.

Kemudian saya juga terbaca pula tentang bagaimana pada hari ini botol dan sampah plastik didapati lebih banyak terapung dari plankton di dalam laut. Ini pasti menyusahkan ikan. Saya juga ada terbaca bagaimana banyak burung Belibis ( seagull) telah ditemui mati tercekik kerana mereka telah menyambar sampah plastik yang terapung di permukaan laut. Malah anak-anak burung ini juga didapati mati di sarang kerana diberi makan sampah plastik oleh ibu mereka.

Semua berita ini boleh kita baca dalam akhbar harian kita. Sekali imbas ianya hanyalah satu laporan berita. Orang Asli di Bera pasti tidak ada hubungan dengan Sungai Danube. Masyarakat Kogi di Andes tidak ada kena mengena dengan burung Butbut di Jelebu. Mungkin berita burung Belibis makan plastik amat melucukan tetapi apa pula hubungannya dengan buah durian di kampung saya.

Tetapi jika direnungkan dan gunakan sedikit buah fikiran maka kita akan dapat melihat satu gambaran yang lebih jelas dan besar. Kita cantumkan semua berita-berita ini. Kita letakkan berita-berita ini dalam satu peta. Maka saya rasa kita semua akan dapat melihat bahawa semua berita-berita ini adalah tanda-tanda awal bahawa tamadun kita hari ini sedang dalam kesakitan.

Perubahan suhu cuaca yang sedang berlaku hari ini akan membawa satu akibat yang menggerunkan bukan sahaja kepada burung, katak, atau binatang tetapi untuk semua makhluk dalam dunia ini. Perubahan ini adalah perbuatan kita sendiri. Kita semua warga dunia bertanggung jawab menebang pokok, menggali bumi, meledakkan gunung dan akhirnya menaikkan suhu cuaca.

Kita jugalah yang membakar minyak petrol sambil memanaskan bumi kerana kita ingin bergerak ke hulu ke hilir. Manusia – kita semua Рbertanggung jawab mencemarkan udara dengan bom atom, bom nuklear, dan membuang segala macam sampah kimia yang mengotorkan wilayah kita sendiri.

Hasilnya, katak hijau yang pada satu ketika dulu saya anggap sebagai teman kini telah menghilangkan diri. Katak hijau ini menjadi teman kerana si katak ini adalah tanda untuk saya mengenali lubuk mana yang dipenuhi dengan ikan. Jika lubuk itu kelihatan didiami oleh banyak katak hijau ertinya banyak ikan di dalamnya. Lubuk yang ini baik untuk saya memasang tajur. Bila si katak hijau ini menghilangkan diri, saya melihat ini sebagai satu peringatan probadi untuk diri saya.

Peringatan bahawa tamadun moden yang berasakan kebendaan ini telah memisahkan saya dengan alam. Tamadun moden ini juga telah memisahkan antara kita sesama kita. Seperti tamadun Maya yang runtuh kerana hutan-hutan ditebang, lembah menjadi keing dan akhirnya panen gagal. Saya membaca semua yang sedang berlaku hari ini adalah tanda-tanda peringatan yang

telah datang kepada kita semua. Hanya kita yang lalai dan gagal memahaminya. Katak hijau itu, sama seperti masyarakat Kogi di Amerika Latin sedang cuba memberi tahu sesuatu kepada saya.

Mungkin ada orang yang akan ketawa kerana teman yang memberi ingatan hanyalah seekor katak hijau dari sebuah lubuk di Jelebu. Tetapi pada ketika ini saya lebih yakin tentang tanda dan makna melalui berita yang dibawa oleh seekor katak, walau pun dia telah lama hilang. Ini kerana saya amat mengenali kejujurannya peranannya. Binatang, burung, serangga dan katak tidak pernah berdusta dengan alam.

END

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Perubatan Alternatif vs Perubatan Moden

بسم الله الرحمن الرحيم

My PhotoOleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com

Bagi sesetengah pihak, keputusan kabinet baru-baru ini yang membenarkan perubatan alternatif memasuki hospital kerajaan agak mengejutkan. Malah ada ahli parlimen yang menimbulkan persoalan tentang kewajaran ‘bomoh’ meratib mentera di hospital, bimbang kalau-kalau asap kemenyan yang digunakan oleh ‘bomoh’ tersebut akan mendatangkan pencemaran.

Sama ada persoalan tersebut lebih berbentuk jenaka atau tidak, sekurang-kurangnya ia melambangkan tahap pemikiran sebahagian rakyat negara ini tentang perubatan alternatif. Bagi mereka, perubatan alternatif adalah ancaman kepada survival atau status quo perubatan moden. Justeru itu, pengamal-pengamal perubatan alternatif seolah-olah datang ke hospital berlagak lebih pandai daripada doktor-doktor yang sedia ada, dan bagi tujuan mengambil alih tugas para doktor tersebut. Betulkah begitu?

Secara ringkasnya, perubatan alternatif ialah aliran perubatan yang selain daripada perubatan moden yang digunapakai di klinik-klinik dan hospital-hospital sekarang ini, sama ada yang dimiliki oleh kerajaan mahu pun pihak swasta. Baik perubatan moden mahu pun perubatan alternatif, kedua-duanya menuju matlamat yang sama, iaitu menyembuhkan penyakit, mencegah daripada berlakunya penyakit, dan menambah baik tahap kesihatan atau sekurang-kurangnya mengekalkan kesihatan yang sedia ada. Bagaimanapun, bagi mencapai matlamat tersebut, kedua-kedua aliran perubatan ini memilih jalan dan haluan yang berbeza.

Menurut buku Ensiklopedia Sains dan Teknologi : Perubatan dan Kesihatan, terbitan DBP ; “… perubatan ortodoks menganggap bahawa penyakit adalah disebabkan oleh agen seperti bakteria dan virus yang berasal dari luar tubuh ; oleh kecederaan dan juga oleh proses denegerasi. Penyakit-penyakit biasanya dirawat melalui ubat-ubatan dan pembedahan.

Perubatan alternatif pula menganggap bahawa penyakit adalah akibat ketidakseimbangan di antara diri dan persekitaran, yang kebanyakannya disebabkan gaya hidup seseorang itu. Oleh itu, pengamal perubatan alternatif akan lebih menumpukan perhatian terhadap unsur-unsur tersebut termasuk unsur tekanan, emosi, persekitaran serta kekeluargaan pesakit tersebut. Pendekatan begini disebutkan sebagai pendekatan holistik, iaitu individu dirawat secara menyeluruh dan fungsi badan dilihat sebagai suatu gabungan yang harmonis dan seimbang antara jasad, akal dan roh. Ia juga menekankan tanggungjawab individu dalam mengekalkan kesihatan yang baik”.

Pengamal-pengamal perubatan alternatif selalu berhujah bahawa bakteria atau virus bukanlah satu-satunya penyebab kepada terjadinya penyakit. Buktinya begini. Sekumpulan 30 orang pelajar memakan nasi lemak di sebuah kantin sekolah pada waktu yang sama dalam kuantiti yang sama banyak. Bagaimanapun, sejam kemudian, hanya separuh daripada mereka mengadu sakit perut dan cirit-birit. Bagaimana pula dengan separuh yang lagi? Adakah nasi lemak yang mereka makan bebas daripada bakteria penyebab cirit-birit?

Ini membuktikan bahawa tahap ketahanahn tubuh seseorang itu terhadap serangan kuman adalah berbeza-beza. Semakin lemah sistem pertahanan tubuh seseorang itu, maka risikonya menghadapi penyakit akan semakin tinggi. Sebaliknya mereka yang sihat dan mengamalkan gaya hidup yang sihat kurang sekali terdedah kepada serangan penyakit, walaupun berjuta-juta bakteria dan virus berada di sekeliling mereka, malah di dalam tubuh mereka sendiri.

Oleh itu, perubatan alternatif memberi perhatian antaranya terhadap kepentingan proses pembersihan darah bagi tujuan meningkatkan sistem pertahanan semulajadi tubuh. Darah kita sebenarnya boleh tercemar terutamanya melalui pemakanan. Contohnya memakan bahan-bahan makanan yang mengandungi pengawet, perisa, dan perwarna, termasuk juga pengambilan lemak yang berlebihan. Selain itu, darah juga boleh menjadi kotor melalui udara dan air yang tercemar, termasuk akibat merokok. Proses pembersihan darah boleh dilakukan melalui amalan bersenam, berbekam, dan pengambilan ubat-ubatan herba yang banyak mengandungi bahan anti oksidan serta bersifat diuretik.

Umum mengetahui, malah turut diakui oleh doktor-doktor perubatan bahawa perubatan moden sehingga kini masih gagal merawat dengan sempurna beberapa jenis penyakit, khususnya penyakit-penyakit kronik. Ambil contoh penyakit kencing manis. Kencing manis disebabkan kegagalan organ pankreas mengeluarkan hormon insulin yang mencukupi bagi menukarkan gula kepada tenaga. Keadaan ini menyebabkan kandungan gula di dalam darah meningkat sehingga melahirkan gejala-gejala seperti kerap membuang air kencing dan sentiasa berasa dahaga. Bagi pesakit kencing manis yang kronik, mereka mungkin akan dijangkiti kudis di bahagian kaki, malah besar kemungkinan kaki tersebut terpaksa dipotong untuk mengelak kudis tadi merebak ke bahagian organ tubuh yang lain.

Pakar-pakar perubatan moden bersepakat bahawa penyakit manis tidak boleh disembuhkan. Ubat-ubatan yang disediakan untuk kencing manis, termasuk suntikan insulin hanyalah bertujuan untuk mengurangkan kandungan gula di dalam darah, bukan untuk merawat punca kepada penyakit kencing manis, iaitu kegagalan organ pankreas berfungsi secara yang sepatutnya. Ini bermaksud ubat-ubatan moden tersebut hanya berjaya merawat gejala penyakit, dan bukannya punca penyakit. Ini juga bermakna bahawa pesakit kencing manis terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan tersebut sepanjang hidup mereka, termasuk menanggung risiko kerosakan buah pinggang, iaitu salah satu kesan sampingan akibat daripada pengambilan ubat-ubatan tersebut dalam tempoh yang lama.

Persoalannya, apakah pula kaedah rawatan yang dicadangkan dalam perubatan alternatif bagi kes seumpama ini? Adakah dan sejauhmanakah kejayaan yang telah dicapai oleh perubatan alternatif dalam merawat pesakit kencing manis? Setakat ini, jawapan-jawapan yang diberikan oleh pengamal-pengamal perubatan alternatif nampaknya masih sukar diterima dan difahami oleh pengamal-pengamal perubatan moden. Menurut mereka, hujah-hujah yang diberikan oleh pengamal-pengamal perubatan alternatif tidak bersifat saintifik, ujikaji yang dilakukan tidak menyeluruh, ubat-ubatan yang digunakan diragui keselamatannya, manakala kejayaan yang dicapai dalam merawat pesakit pula adalah secara kebetulan sahaja, dan berbagai-bagai lagi justifikasi diberikan bagi menafikan sumbangan perubatan alternatif dalam merawat pesakit.

Walau apa pun halangan dan kekangan yang dihadapi, komitmen pengamal-pengamal perubatan alternatif dalam merawat pesakit dan memajukan bidang perubatan di negara ini sedikit pun tidak terjejas. Malah mereka merasa bangga apabila jumlah pesakit yang mengucapkan syukur kepada Allah setelah sembuh daripada penyakit yang telah dihidapi sejak sekian lama semakin hari semakin meningkat. Pesakit-pesakit tersebut termasuklah mereka yang telah dinasihatkan oleh para doktor supaya menjalani pembedahan bagi memotong bahagian kaki yang telah dijangkiti kudis akibat penyakit kencing manis.

Bagi mengatakan para pesakit tersebut berpakat atau diupah untuk mengemukakan testimoni yang palsu juga rasanya tidak masuk akal. Selain jumlah mereka yang tersangat ramai, latar belakang mereka juga berbeza-beza. Daripada seorang penoreh getah di Baling, Kedah sehinggalah kepada profesor universiti di Kuala Lumpur, semua mereka mengakui keberkesanan rawatan yang diterima. Mereka ini bukan sengaja lari daripada doktor di hospital, tetapi kebanyakannya bertekad mencuba perubatan alternatif setelah kecewa dengan perubatan moden.

Apakah bukti ini belum mencukupi bagi meyakinkan pihak-pihak tertentu yang nampaknya fobia dengan perubatan alternatif? Pengamal-pengamal perubatan alternatif sebenarnya tidak perlu terlebih dahulu mendapat lesen atau persetujuan daripada pengamal-pengamal perubatan moden sebelum mereka dibenarkan memasuki hospital kerajaan, apatah lagi untuk mendapat perakaun daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC). Mana mungkin sebuah syarikat pengeluar biskut akan memuji keenakan dan kerangupan biskut yang dikeluarkan oleh syarikat yang menjadi pesaing baginya.

Apabila kerajaan membenarkan perubatan alternatif memasuki hospital-hospital kerajaan, jangan pula kita berfikir bahawa keputusan tersebut adalah suatu langkah yang mundur ke belakang. Sebenarnya sudah banyak negara di dunia ini yang membenarkan perubatan alternatif memasuki hospital kerajaan di negara masing-masing.

China sebagai contohnya telah lama membenarkan singse (gelaran bagi pengamal perubatan Cina) merawat pesakit di hospital melalui kaedah akupuntur, iaitu salah satu cabang yang terdapat dalam perubatan alternatif. Sebelum ini pun kita juga telah diberitakan tentang pemergian lagenda bola sepak Argentina, Deigo Maradona ke Cuba bagi merawat ketagihan dadah mengikut kaedah perubatan alternatif yang terdapat di negara tersebut. Malah Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi juga telah meninjau keberkesanan kaedah rawatan perubatan alternatif di Cuba bagi dijadikan asas pelaksanaannya di Malaysia.

Di samping itu, kita juga penuh yakin bahawa kedatangan perubatan alternatif ke hospital-hospital kerajaan bukan bertujuan untuk mengambil alih fungsi perubatan moden, jauh sekali untuk menendang keluar doktor-doktor yang sedia ada. Perubatan alternatif sebenarnya adalah pelengkap kepada perubatan moden. Alangkah baik dan manisnya jika para ‘bomoh’ dan singse dapat berganding bahu dengan doktor-doktor perubatan bagi merawat pesakit.

Yang pentingnya di sini bukan siapa yang menjadi jaguh dalam menyembuhkan sesuatu penyakit, tetapi tahap kesihatan rakyat negara ini perlu dipertingkatkan bagi menjamin tercapainya matlamat Wawasan 2020. Selain itu, penyediaan khidmat perubatan alternatif di hospital juga adalah bagi menghormati hak asasi pesakit yang antara lainya ialah memilih kaedah rawatan yang difikirkan terbaik olehnya tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

Justeru itu, cabang-cabang perubatan alternatif seperti homeopati, herbalisme, akupuntur, refleksiologi, kiropraktik, getaran warna, dan sebagainya termasuk Perubatan Ibnu Sina (yang masih asing bagi rakyat negara ini) hendaklah diberi ruang dan peluang bagi turut sama menyumbang ke arah pembangunan kesihatan rakyat negara ini. Rasanya kesangsian tentang kebolehan aliran perubatan ini dalam memberi rawatan yang terbaik kepada para pesakit tidak perlu lagi diperdebatkan.

Sekarang ini kita dapati pengamal-pengamal perubatan ini yang memiliki kilang pembuatan dan pemprosesan ubat yang bertaraf GMP (Amalan Pengilangan Baik) semakin bertambah. Ubat-ubatan yang dikeluarkan pula mendapat kelulusan daripada Biro Farmasuitikal Kebangsaan (BFK). Malah, sebahagian daripada mereka sudah pun menubuhkan kolej pengajian dan penyelidikan perubatan masing-masing bagi mengembangkan disiplin perubatan yang mereka amalkan. Semua ini membuktikan bahawa pengamal-pengamal perubatan alternatif sememangnya serius dalam kerjaya mereka, sekaligus menolak anggapan bahawa mereka hanya mengambil kesempatan di atas minat masyarakat yang semakin meningkat terhadap perubatan alternatif.

Akhir sekali, kita percaya bahawa pihak kerajaan pasti akan mengenakan syarat-syarat yang ketat kepada mana-mana pengamal perubatan alternatif yang menjalankan tugas di hospital. Rasanya tidak perlulah saya memberi cadangan kepada pihak kerajaan tentang peraturan dan prosedur yang perlu diikuti oleh pengamal perubatan tersebut, kerana kita percaya pihak Kementerian Kesihatan sudah pun mempunyai garis panduan yang lengkap tentang perkara tersebut. Cuma saya penuh yakin dan percaya bahawa antara syarat yang akan dikenakan kelak ialah melarang para ‘bomoh’ daripada melakukan upacara ‘menurun’ di hospital.

(Artikel ini telah tersiar dalam majalah Al Islam, Julai 2006)

Sumber; Blog Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah. 

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Berkenaan dengan surat Syeikh Murtadza.

بسم الله الرحمن الرحيم

11149466_1430244163938353_5103806973491256635_n

Isu penyesatan terhadap Tarekat Naqsyabandiah ‘Aliah pimpinan Allahyarham Syeikh Nazim dah lama berbunyi. Macam-macamlah sebab-musabab yang yang diberi termasuklah surat Syeikh Murtadza yang mengharamkan tarekat tersebut bagi menguatkan dakwaan penyesatan terhadap tarekat tersebut.

Hari ni, terjumpa tulisan di Mukabuku berkaitan surat Syeikh Murtadza. Kredit kepada link https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1430244367271666&id=100008583490359

Ini tulisannya;

“Berkenaan dengan surat sheikh murtaza. Berikut penjelasan anak murid sheikh setelah bertanya terus pada sheikh.

1- sebelum pengharaman sheikh murtaza telah berjumpa dengan ulama dari aliran ahbash dan ulama itu telah bentangkan kononnya kesestan naqsyahbandi haqqani dengan tunjukkan buku karangan syeikh nazim.

2- setalah baca buku tersebut sh murtaza keluarkan surat tersebut.

3- namun setelah beberapa ketikan selepas itu sheikh murtaza berbincang dengan sheikh shinawi dan mendapati ia adalah fitnah pada sheikh nazim, iaitu buku yg dibaca dan diberikan pada beliau itu bukanlah buku karangan sheikh nazim.

4- begitu juga dalam kes jakim, sheikh murtaza sehingga kini minta jakim bentangkan pengharaman tersebut tapi hingga kini tdak dibentang. Dan sheikh murtaza sendiri sudah minta jakim padamkan nama beliau yg jakim gunakan utk haramkan naqsyahbandi haqqani.”

Wallahualam.

إلهي أنت مقصودي و رضاك مطلوبي

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

Oh GST..

بسم الله الرحمن الرحيم

Macam-macam cerita pasal GST. Tak tau mana yang betul mana yang salah. Saya tak dapat komen lebih-lebih sebab saya tak rasa beban GST seperti orang yang terbebankan dengan GST.

Saya terkejut bila ada orang itu kata Syeikh Nuruddin al-Banjari kata GST haram. Kemudian ada orang bidas Syeikh Nuruddin yang kononnya beliau mengharamkan GST bersumberkan klip video orang yang kata Syeikh Nuruddin kata.

Link ni https://www.youtube.com/watch?v=ba0f2Pgfafw menceritakan apa kata Syeikh Nuruddin yang sebenar. Tak pasal-pasal nama syeikh kena.

Orang yang nak kata tu tak fikir ka sebelum nak kata lagu tu?

الله المستعان وعليه التكلان

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen

فقه الدولة وفقه الجماعة

Video | Posted on by | Tinggalkan komen

Debat antara Syeikh al-Buti & Syeikh al-Albani.

بسم الله الرحمن الرحيم

Ada satu perdebatan yang menarik tentang ijtihad dan taqlid antara Syeikh Muhammad Said Ramadan al-Buti, seorang ulama Sunni di Suriah, bersama Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, seorang tokoh Wahhabi dari Jordan.

Syeikh al-Buti bertanya: “Bagaimana cara anda memahami hukum-hukum Allah, apakah anda mengambilnya secara langsung dari al-Quran dan as-Sunnah, atau melalui hasil ijtihad para imam-imam mujtahid?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Aku membandingkan antara pendapat semua imam mujtahid serta dalil-dalil mereka lalu aku ambil yang paling dekat kepada al-Quran dan as-Sunnah.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Seandainya anda punyai duit 5000 Lira. Duit itu anda simpan selama 6 bulan. Kemudian duit itu anda belikan barang untuk diperdagangkan, maka sejak bila barang itu anda keluarkan zakatnya. Adakah setelah 6 bulan berikutnya, atau menunggu 1 tahun lagi?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Maksud pertanyaannya, kamu menetapkan bahawa harta dagang itu ada zakatnya?”

Syeikh al-Buti berkata: “Saya hanya bertanya. Yang saya inginkan, anda menjawab dengan cara anda sendiri. Di sini kami sediakan kitab-kitab tafsir, hadis dan fikah, silakan telaah.”

Syeikh al-Albani menjawab: “Hai saudaraku, ini masalah agama. Bukan persoalan mudah yang boleh dijawab dengan seenaknya. Kami masih perlu mengkaji dan meneliti. Kami datang ke sini untuk membahas masalah lain.”

Mendengar jawapan tersebut, Syeikh al-Buti beralih pada pertanyaan lain: “Baik kalau memang begitu. Sekarang saya bertanya, apakah setiap muslim harus atau wajib membandingkan dan meneliti dalil-dalil para imam mujtahid, kemudian mengambil pendapat yang paling sesuai dengan al-Quran dan as-Sunnah?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Ya.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Maksud jawapan anda, semua orang memiliki kemampuan berijtihad seperti yang dimiliki oleh para imam mazhab? Bahkan kemampuan semua orang lebih sempurna dan melebihi kemampuan ijtihad para imam mazhab. Kerana secara logiknya, seseorang yang mampu menghakimi pendapat-pendapat para imam mazhab dengan barometer al-Quran dan as-Sunnah, jelas dia lebih alim dari mereka.”

Syeikh al-Albani menjawab: “Sebenarnya manusia itu terbahagi kepada 3, iaitu مُقَلِّدٌ (muqallid – orang yang taklid), مُتَّبِعٌ (muttabi’- orang yang mengikuti) dan مُجْتَهِدٌ  (mujtahid). Orang yang mampu membandingkan mazhab-mazhab yang ada dan memilih yang lebih dekat kepada al-Quran adalah muttabi’. Justeru muttabi’ itu darjat tengah, antara taklid dan ijtihad.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Apa kewajiban muqallid?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Dia wajib mengikuti para mujtahid yang boleh diikutinya.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Adakah dia berdosa kalau seumpama mengikuti seorang mujtahid saja dan tidak pernah berpindah ke mujtahid lain?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Ya, dia berdosa dan haram hukumnya.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Apakah dalil yang mengharamkannya?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Dalilnya, dia mewajibkan pada dirinya, sesuatu yang tidak diwajibkan Allah padanya.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Dalam membaca al-Quran, anda mengikuti qiraahnya siapa di antara qiraah yang 7?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Qiraah Hafs.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Apakah anda hanya mengikuti Qiraah Hafs saja? Atau setiap hari, Anda mengikuti qiraah yang berbeza-beza?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Tidak. Saya hanya mengikuti Qiraah Hafs saja.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Mengapa anda hanya mengikuti Qiraah Hafs saja, padahal Allah tidak mewajibkan anda mengikuti Qiraah Hafs. Kewajipan anda  membaca al-Quran sesuai riwayat yang datang dari Nabi secara mutawatir.”

Syeikh al-Albani menjawab: “Saya tidak sempat mempelajari qiraah-qiraah yang lain. Saya tak boleh membaca al-Quran dengan selain Qiraah Hafs.”

Syeikh al-Buti berkata: “Orang yang mempelajari fikah Mazhab Syafie, juga tak sempat mempelajari mazhab-mazhab yang lain. Dia juga tidak mudah memahami hukum-hukum agamanya kecuali mempelajari fikahnya Imam Syafie. Apabila anda mengharuskannya mengetahui semua ijtihad para imam, maka anda sendiri harus pula mempelajari semua qiraah, sehingga anda membaca al-Quran dengan semua qiraah itu. Kalau anda beralasan tidak mampu melakukannya, maka anda harus menerima alasan ketidakmampuan muqallid dalam masalah ini. Bagaimanapun, kami sekarang bertanya kepada anda, dari mana anda berpendapat bahawa seorang muqallid harus berpindah-pindah dari satu mazhab ke mazhab lain, padahal Allah tidak mewajibkannya. Maksudnya sebagaimana ia tidak wajib menetap pada satu mazhab saja, ia juga tidak wajib berpindah-pindah terus dari satu mazhab ke mazhab lain?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Sebenarnya yang diharamkan bagi muqallid itu menetapi satu mazhab dengan keyakinan bahwa Allah memerintahkan demikian.”

Syeikh al-Buti berkata: “Jawapan anda ini persoalan lain. Dan memang benar demikian. Akan tetapi, pertanyaan saya, apakah seorang muqallid itu berdosa jika menetapi satu mujtahid saja, padahal dia tahu bahawa Allah tidak mewajibkan demikian?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Tidak berdosa.”

Syeikh al-Buti berkata: “Tetapi isi buku yang anda ajarkan, berbeza dengan yang anda katakan. Dalam buku tersebut disebutkan, menetapi satu mazhab saja itu hukumnya haram. Bahkan dalam bahagian lain buku tersebut, orang yang menetapi satu mazhab saja itu dihukumi kafir.”

Menjawab pertanyaan tersebut, Syeikh al-Albani kebingungan menjawabnya. Demikianlah dialog panjang antara Syeikh al-Buti dengan Syeikh al-Albani, yang didokumentasikan dalam kitab beliau اللَّامَذهبية أخطر بدعة تهدد الشريعة الإسلامية. Dialog tersebut menggambarkan, bahawa kaum Wahhabi melarang umat Islam mengikuti mazhab tertentu dalam bidang fikah. Tetapi ajakan tersebut, sebenarnya helah mereka agar umat Islam mengikuti mazhab yang mereka buat sendiri. Tentu saja mengikuti mazhab para ulama salaf, lebih menenteramkan bagi kaum muslimin. Keilmuan, ketulusan dan kesolehan ulama salaf jelas diyakini melebihi orang-orang sesudah mereka.

Posted in Uncategorized | Tinggalkan komen