Perjuangan Utusan Terus Menyala II.

بسم الله الرحمن الرحيم

Image

Zainudin Maidin – BAGAIMANAPUN, setelah enam bulan di Jakarta, A. Samad meletakkan jawatan pada November 1958 dan menyertai Straits Times di Kuala Lumpur untuk membantu penerbitan sebuah akhbar harian Melayu yang pertama dalam tulisan rumi, Berita Harian. Rakan-rakan di Utusan membantah A. Samad bekerja dengan Straits Times kerana menganggapnya sebagai suara kolonialisme.

Ketika itu semua rakan penting A. Samad di Utusan Melayu yang sefahaman dengannya telah pun berada di Kuala Lumpur. Antaranya Said Zahari, Usman Awang, Tajuddin Kahar, Salim Kajai dan Awam-il Sarkam.

Menurut A. Samad, pemogokan pekerja Utusan Melayu pada tahun 1961 adalah ekoran daripada perancangan mogok yang tertunda pada 1957 untuk membantah pertukarannya ke Jakarta. Tetapi A. Samad sendiri menghalang permogokan itu dan meminta mereka jangan menentang penyingkirannya walaupun beliau sendiri tidak menyenanginya.

A. Samad tidak percaya bahawa pertukarannya itu kerana beliau tidak dikehendaki oleh Tunku Abdul Rahman seperti yang didakwa oleh Yusof. Tetapi menurut Rahim Ishak iaitu adik Yusof, beliau sendiri telah melihat surat Tunku Abdul Rahman kepada abangnya, Aziz, yang memberitahu Yusof bahawa beliau tidak mahu A. Samad sebagai Timbalan Pengarang kerana mendapat tahu A Samad pro-komunis.

Rahim menyatakan beliau masih ingat dengan jelas nota Tunku Abdul Rahman yang berwarna biru itu.

Namun demikian, pemergian A. Samad daripada Utusan Melayu tidaklah bererti beliau telah putus hubungannya dengan Utusan Melayu. A. Samad meninggalkan ramai rakan dan anak didiknya yang meneruskan perjuangannya.

Antara mereka ialah Usman Awang dan Said Zahari yang kemudian menjadi ketua pemogokan Utusan Melayu pada tahun 1961. Said kemudian menjadi tahanan politik yang paling lama di Singapura.

Setelah menghantar A. Samad ke Jakarta pada tahun 1957, Yusof telah meminta Othman Wok untuk mengambil alih jawatan sebagai Timbalan Pengarang. Tetapi bila Othman enggan beliau mengancam akan menyingkirkan Othman. Sebelumnya, Said telah meminta Othman supaya jangan menerima tawaran itu.

Walaupun menjadi Timbalan Pengarang tetapi Othman bertugas di Singapura manakala Zainal Abidin Alias (Zabha) mengetuai Jabatan Pengarang di Kuala Lumpur. Sebenarnya, Said yang ketika itu Pengarang Berita dan juga Penulis Rencana Pengarang yang mencorakkan dasar dan perjalanan Utusan Melayu setiap hari dengan dibantu oleh Usman Awang yang popular dan berpengaruh besar. Mereka bertukar ganti menulis ruangan pojok Ada-Ada Sahaja di bawah nama “Awang Bongsu” yang sering mengecam dasar-dasar dan projek kerajaan Perikatan.

Yusof dan juga anggota-anggota Lembaga Pengarah asal Utusan Melayu tidak lagi menguasai Utusan Melayu menerusi saham mereka kerana sebahagian besar saham terbitan baharu telah dijual kepada pihak lain untuk menambah modal dan meluaskan pengedaran Utusan Melayu. Sebaliknya akhbar Utusan Melayu meneruskan dasar warisan sejak penubuhannya pada 1938.

Apabila kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman sejak sebelum merdeka menunjukkan dasar pro-Barat dan perdagangan bebas, Utusan Melayu tidak menyokongnya. Kerajaan membuka beribu-ribu ekar tanah untuk rakyat yang tidak bertanah di bawah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), tetapi Utusan Melayu membela peneroka tanah haram dan membesar-besarkan berita mengenai tindakan mereka.

Kerajaan mahukan pelaburan asing, Utusan Melayu menganggapnya sebagai membawa penindasan baharu. Suara Utusan Melayu selari dengan dasar Afro Asia yang pro-Soviet Union dan China Komunis.

Utusan Melayu juga menyokong Menteri Pertanian Aziz Ishak dalam konfrontasi dengan Tunku Abdul Rahman yang tidak bersetuju dengan projek baja ureanya pada bulan Mei 1961.

Semakin hari semakin jelas dasar tidak sehaluan Utusan Melayu dengan UMNO yang amat tidak disenangi oleh Tunku Abdul Rahman. Ekoran itu, Tunku Abdul Rahman sering memanggil Yusof untuk “sarapan” dan cakap-cakap di mana beliau menyampaikan tegurannya. Yusof telah mencurahkan perasaannya kepada Said bahawa beliau berasa terhina dengan arahan menemui Perdana Menteri setiap pagi.

Utusan Melayu lebih dikenang sebagai akhbar yang membangkitkan kesedaran orang Melayu bagi menentang Malayan Union dan mendorong penubuhan UMNO tetapi sebenarnya selepas kejayaan itu Utusan Melayu tidak lagi bersama UMNO. Selepas Malayan Union, UMNO menerima Perlembagaan Persekutuan 1948 sebaliknya Utusan Melayu memperjuangkan Perlembagaan Rakyat yang disokong oleh kumpulan-kumpulan berhaluan kiri.

Semangat perjuangan inilah yang diwarisi oleh Utusan Melayu sehingga dipatahkan oleh UMNO pada tahun 1961. Di sebalik kejayaan dan keagungannya, Utusan Melayu mencatatkan sejarah hitam dua sahabat yang walaupun tidak sama perwatakan dan fahaman tetapi dapat bekerjasama dalam membangunkan Utusan Melayu ke zaman kegemilangannya tetapi akhirnya putus juga pertalian persahabatan kerana kepentingan yang berbeza. Demikianlah yang berlaku antar A. Samad Ismail dan Yusof Ishak.

Utusan Melayu tidak sekadar sebuah akhbar tetapi adalah akhbar yang menjadi medan perjuangan untuk bangsa, agama dan tanah air yang memakan korban dari semasa ke semasa. Ia menepati konklusi yang dibuat oleh penulis sejarah nasionalisme Melayu, William R. Roff bahawa “keperibadian Melayunya yang membantu sehingga bertukarlah ia daripada surat khabar menjadi suatu matlamat perjuangan.”

Tsunami Politik 2008 telah membuktikan lagi kebenaran ini, menyerlahkan Utusan Melayu sebagai akhbar yang tidak pernah mungkir janjinya meneruskan perjuangan bagi bangsa, agama dan tanah air.

p/s : http://www.anwaraidc.com/?p=39221

Advertisements
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s