Perjuangan Utusan Terus Menyala.

بسم الله الرحمن الرحيم

Image

Zainuddin Maidin – PERKARA pertama yang ditanya oleh yang Dipertuan Negara Singapura, Yusof Ishak apabila Pengarang Berita merangkap Timbalan Pengarang Utusan Melayu, Othman Wok mengunjunginya di Istana Negara Singapura dengan ditemani penulis pada satu malam pertengahan tahun 1963 ialah keadaan Utusan Melayu selepas mogok 1961.

Ketika itu Othman masih berkhidmat di Kuala Lumpur dan Yusof mahu tahu siapakah antara bekas pemogok yang kembali bekerja dan beliau menyebut beberapa nama bekas anggota Jabatan Pengarang Utusan Melayu yang tidak wajar diambil semula.

Beliau bercakap seolah-olah masih berkuasa di Utusan Melayu yang telah ditinggalkannya sejak tiga tahun lalu sebelum berlakunya mogok seluruh pekerja Utusan Melayu kerana membantah penguasaan UMNO ke atas syarikat akhbar itu.

Yusof yang merupakan pengasas utama Utusan Melayu pada 1938 secara rasmi putus hubungan dengan Utusan Melayu pada 15 Julai 1959 apabila namanya tidak lagi tercatat dalam akhbar itu sebagai pencetak dan penerbit akhbar Utusan Melayu. Keadaan telah memaksa beliau berhenti daripada Utusan Melayu.

Beliau masih memberikan perhatian berat kepada Utusan Melayu menggambarkan betapa mendarahdagingnya Utusan Melayu dalam jiwa Yusof kerana di situlah selama lebih 20 tahun beliau tidak henti-henti memberikan sepenuh masa, tenaga dan jiwa raganya untuk memastikan akhbar itu terus hidup dan maju.

Jika pada malam kejayaannya mengumpulkan modal untuk menerbitkan Utusan Melayu pada 1939 beliau mengisytiharkan dirinya sebagai seorang yang paling gembira di Singapura, tetapi pada 1959, beliau melangkah keluar dari Utusan Melayu dalam keadaan terpaksa dan menitiskan air mata kerana tekanan politik dari dalam dan luar.

Yusof yang dalam keadaan apa pun lebih mengutamakan survival Utusan Melayu daripada kepentingan politik akhirnya menjadi mangsa kepada suatu keadaan yang tidak lagi dapat dikawalnya.

Yusof dikenali sebagai seorang yang antisastera dan menganggap bahan sastera tidak boleh menjual akhbar. Hal ini menyebabkan beliau tidak disenangi oleh golongan sasterawan dalam Utusan Melayu yang mendapat sokongan daripada Timbalan Pengarang, A. Samad Ismail.

Pemergiannya daripada Utusan Melayu pada 1959 selepas kira-kira setahun ibu pejabat Utusan Melayu di Kuala Lumpur adalah keruntuhan benteng pertahanan Utusan Melayu daripada tekanan luar dan dalam. Yusof terpaksa berhenti kerana tidak dapat menjalankan dasar-dasar yang dikehendaki oleh UMNO dan juga kerana tekanan wartawan-wartawan radikal yang prososialisme dan nasionalisme Indonesia.

Wartawan-wartawan berhaluan kiri melihat Yusof sebagai penghalang kepada perjuangan mereka. UMNO pula menganggap Yusof sebagai tidak dapat mengawal Utusan daripada dipergunakan oleh golongan kiri.

Sebelum Utusan Melayu berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur, Yusof merasakan satu peluang keemasan telah tiba bagi surat khabarnya, Utusan Melayu digunakan untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan kebajikan negara menurut sistem demokrasi.

Bagaimanapun, suatu keadaan yang diluar jangkaan Yusof berlaku. Utusan Melayu telah mulai tidak disukai oleh Tunku Abdul Rahman dan pemimpin UMNO lain tidak lama sesudah Malaya mencapai kemerdekaannya. Sejak itu meninggi atau menurunnya rasa tidak senang dengan komen-komen dan teguran-teguran Utusan Melayu adalah mengikut nada populariti dan kehampaan yang diperoleh kerajaan Perikatan di dalam atau di luar negeri.

UMNO mengugut Yusof manakala orang kiri menjalankan rampasan kuasa. Akhirnya Yusof meletak jawatan. Ketua yang menggulingkan Yusof ketika itu ialah Pengarang Berita Utusan Melayu, Said Zahari dan teman-temannya. Mereka memberontak terhadap cara Yusof mengendalikan Jabatan Pengarang yang menurut mereka sudah tidak cocok dengan zaman merdeka.

Jika wartawan-wartawan berhaluan kiri menganggap perletakan jawatan Yusof akan memudahkan mereka untuk meneruskan perjuangan yang diwarisi, ternyata mereka silap. Ini kerana pemergiannya membuka peluang kepada UMNO untuk memisahkan terus akhbar Utusan Melayu daripada dasar asalnya yang pro-Indonesia, anti-Barat dan pro-blok Timur yang dijuarai oleh Soviet Union dan China.

Tunku Abdul Rahman yang tidak senang dengan dasar itu telah pun memberi amaran kepada Yusof sebelum memindahkan operasi Utusan Melayu dari Singapura ke Kuala Lumpur pada 5 Februari 1958 bahawa lesen edaran di Malaya tidak akan diberikan kepada Utusan Melayu jika meneruskan dasarnya yang kekirian.

Yusof yang mengetahui Timbalan Pengarang, A. Samad Ismail berada di belakang dasar kekirian menukarkan A. Samad menjadi wakil Utusan Melayu di Jakarta, Indonesia yang hampir menimbulkan tindakan bantahan daripada penyokong-penyokong A. Samad.

p/s : http://www.anwaraidc.com/?p=39216

Advertisements
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s