Debat antara Syeikh al-Buti & Syeikh al-Albani.

بسم الله الرحمن الرحيم

Ada satu perdebatan yang menarik tentang ijtihad dan taqlid antara Syeikh Muhammad Said Ramadan al-Buti, seorang ulama Sunni di Suriah, bersama Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, seorang tokoh Wahhabi dari Jordan.

Syeikh al-Buti bertanya: “Bagaimana cara anda memahami hukum-hukum Allah, apakah anda mengambilnya secara langsung dari al-Quran dan as-Sunnah, atau melalui hasil ijtihad para imam-imam mujtahid?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Aku membandingkan antara pendapat semua imam mujtahid serta dalil-dalil mereka lalu aku ambil yang paling dekat kepada al-Quran dan as-Sunnah.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Seandainya anda punyai duit 5000 Lira. Duit itu anda simpan selama 6 bulan. Kemudian duit itu anda belikan barang untuk diperdagangkan, maka sejak bila barang itu anda keluarkan zakatnya. Adakah setelah 6 bulan berikutnya, atau menunggu 1 tahun lagi?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Maksud pertanyaannya, kamu menetapkan bahawa harta dagang itu ada zakatnya?”

Syeikh al-Buti berkata: “Saya hanya bertanya. Yang saya inginkan, anda menjawab dengan cara anda sendiri. Di sini kami sediakan kitab-kitab tafsir, hadis dan fikah, silakan telaah.”

Syeikh al-Albani menjawab: “Hai saudaraku, ini masalah agama. Bukan persoalan mudah yang boleh dijawab dengan seenaknya. Kami masih perlu mengkaji dan meneliti. Kami datang ke sini untuk membahas masalah lain.”

Mendengar jawapan tersebut, Syeikh al-Buti beralih pada pertanyaan lain: “Baik kalau memang begitu. Sekarang saya bertanya, apakah setiap muslim harus atau wajib membandingkan dan meneliti dalil-dalil para imam mujtahid, kemudian mengambil pendapat yang paling sesuai dengan al-Quran dan as-Sunnah?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Ya.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Maksud jawapan anda, semua orang memiliki kemampuan berijtihad seperti yang dimiliki oleh para imam mazhab? Bahkan kemampuan semua orang lebih sempurna dan melebihi kemampuan ijtihad para imam mazhab. Kerana secara logiknya, seseorang yang mampu menghakimi pendapat-pendapat para imam mazhab dengan barometer al-Quran dan as-Sunnah, jelas dia lebih alim dari mereka.”

Syeikh al-Albani menjawab: “Sebenarnya manusia itu terbahagi kepada 3, iaitu مُقَلِّدٌ (muqallid – orang yang taklid), مُتَّبِعٌ (muttabi’- orang yang mengikuti) dan مُجْتَهِدٌ  (mujtahid). Orang yang mampu membandingkan mazhab-mazhab yang ada dan memilih yang lebih dekat kepada al-Quran adalah muttabi’. Justeru muttabi’ itu darjat tengah, antara taklid dan ijtihad.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Apa kewajiban muqallid?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Dia wajib mengikuti para mujtahid yang boleh diikutinya.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Adakah dia berdosa kalau seumpama mengikuti seorang mujtahid saja dan tidak pernah berpindah ke mujtahid lain?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Ya, dia berdosa dan haram hukumnya.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Apakah dalil yang mengharamkannya?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Dalilnya, dia mewajibkan pada dirinya, sesuatu yang tidak diwajibkan Allah padanya.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Dalam membaca al-Quran, anda mengikuti qiraahnya siapa di antara qiraah yang 7?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Qiraah Hafs.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Apakah anda hanya mengikuti Qiraah Hafs saja? Atau setiap hari, Anda mengikuti qiraah yang berbeza-beza?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Tidak. Saya hanya mengikuti Qiraah Hafs saja.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Mengapa anda hanya mengikuti Qiraah Hafs saja, padahal Allah tidak mewajibkan anda mengikuti Qiraah Hafs. Kewajipan anda  membaca al-Quran sesuai riwayat yang datang dari Nabi secara mutawatir.”

Syeikh al-Albani menjawab: “Saya tidak sempat mempelajari qiraah-qiraah yang lain. Saya tak boleh membaca al-Quran dengan selain Qiraah Hafs.”

Syeikh al-Buti berkata: “Orang yang mempelajari fikah Mazhab Syafie, juga tak sempat mempelajari mazhab-mazhab yang lain. Dia juga tidak mudah memahami hukum-hukum agamanya kecuali mempelajari fikahnya Imam Syafie. Apabila anda mengharuskannya mengetahui semua ijtihad para imam, maka anda sendiri harus pula mempelajari semua qiraah, sehingga anda membaca al-Quran dengan semua qiraah itu. Kalau anda beralasan tidak mampu melakukannya, maka anda harus menerima alasan ketidakmampuan muqallid dalam masalah ini. Bagaimanapun, kami sekarang bertanya kepada anda, dari mana anda berpendapat bahawa seorang muqallid harus berpindah-pindah dari satu mazhab ke mazhab lain, padahal Allah tidak mewajibkannya. Maksudnya sebagaimana ia tidak wajib menetap pada satu mazhab saja, ia juga tidak wajib berpindah-pindah terus dari satu mazhab ke mazhab lain?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Sebenarnya yang diharamkan bagi muqallid itu menetapi satu mazhab dengan keyakinan bahwa Allah memerintahkan demikian.”

Syeikh al-Buti berkata: “Jawapan anda ini persoalan lain. Dan memang benar demikian. Akan tetapi, pertanyaan saya, apakah seorang muqallid itu berdosa jika menetapi satu mujtahid saja, padahal dia tahu bahawa Allah tidak mewajibkan demikian?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Tidak berdosa.”

Syeikh al-Buti berkata: “Tetapi isi buku yang anda ajarkan, berbeza dengan yang anda katakan. Dalam buku tersebut disebutkan, menetapi satu mazhab saja itu hukumnya haram. Bahkan dalam bahagian lain buku tersebut, orang yang menetapi satu mazhab saja itu dihukumi kafir.”

Menjawab pertanyaan tersebut, Syeikh al-Albani kebingungan menjawabnya. Demikianlah dialog panjang antara Syeikh al-Buti dengan Syeikh al-Albani, yang didokumentasikan dalam kitab beliau اللَّامَذهبية أخطر بدعة تهدد الشريعة الإسلامية. Dialog tersebut menggambarkan, bahawa kaum Wahhabi melarang umat Islam mengikuti mazhab tertentu dalam bidang fikah. Tetapi ajakan tersebut, sebenarnya helah mereka agar umat Islam mengikuti mazhab yang mereka buat sendiri. Tentu saja mengikuti mazhab para ulama salaf, lebih menenteramkan bagi kaum muslimin. Keilmuan, ketulusan dan kesolehan ulama salaf jelas diyakini melebihi orang-orang sesudah mereka.

Advertisements
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s