Gila talak.

بسم الله الرحمن الرحيم

Gila talak maknanya teringat-ingat akan bekas isteri atau suami setelah bercerai.

Apabila lelaki gila talak.

DALAM Islam perkara halal yang paling dibenci di sisi Allah SWT adalah talak. Mengikut syarak talak merupakan milik mutlak kaum lelaki. Namun ia bukan sesuatu yang boleh dipermudahkan disebut bahawa salah satu perkara yang disebut secara main-main pun jadi ialah menjatuhkan talak

Talak merupakan kalimah bahasa Arab yang bermaksud ‘menceraikan’ atau ‘melepaskan’. Mengikut istilah syarak ia bermaksud ‘melepaskan ikatan pernikahan atau perkahwinan dengan kalimah atau lafaz yang menunjukkan talak atau perceraian’.

Jika suami melafazkan kalimah ini ke atas isterinya maka dengan sendirinya mereka berdua telah terpisah dan isterinya berada dalam keadaan idah.

Talak memang mudah dijatuhkan. Namun kesan dan bahana selepas ia diungkapkan kadang kala tidak tersangka malah oleh ‘pelontar’ talak itu sendiri. Adakalanya ia boleh menjadi mimpi ngeri kepada kedua-dua belah pihak.

Sebab itu dalam masyarakat Melayu wujud istilah ‘gila talak’ – biasanya dikaitkan dengan suami yang tergila-gilakan bekas isteri.

Akibatnya bermacam-macam perkara dilakukan untuk mengembalikan bekas isteri ke pangkuan. Ada yang berlembut ada pula yang kasar dan ganas hingga membabitkan perbuatan yang tidak pernah terlintas di fikiran kita.

Bukan sahaja fikiran tidak keruan malah hidup tunggang-terbalik gara-gara tidak dapat melupakan bekas isteri apatah lagi apabila mendapat tahu wanita tersebut sudah ada pengganti.

”Gila talak ini bermacam-macam. Ada yang setelah melepaskan (menceraikan) isteri, baru timbul perasaan sayang semula kepada isteri.

“Masa itu si suami mulalah membuat pelbagai alasan untuk berjumpa bekas isteri.

”Ada juga sebelum bercerai perasaan marah terhadap isteri meluap-luap tetapi selepas bercerai diburu pula dengan perasaan cemburu terhadap bekas isteri yang bukan lagi menjadi miliknya.

”Ada suami yang hilang perasaan malu, setiap hari menunggu di depan rumah, bawah pokok dan sebagainya. Kata rindukan anak tetapi sebenarnya rindukan emak.

“Ada yang sanggup menyuruh orang lain supaya memujuk bekas isterinya kembali kepadanya,” demikian cerita kaunselor perkahwinan dan rumah tangga berdaftar, Hushim Salleh ketika dihubungi baru-baru ini.

Ujar Hushim, ramai lelaki berjumpanya untuk mendapat khidmat nasihat kerana gagal melupakan bekas isteri selepas bercerai.

Menariknya ada di antara mereka ini terdiri daripada golongan profesional seperti peguam, juruterbang, pensyarah dan jurutera yang rata-rata berumur 40 tahun ke atas.

“Wanita atau isteri zaman sekarang rata-rata berpendidikan dan berkerja. Jika mereka mengetahui suami mempunyai hubungan dengan wanita lain, mereka berani bersemuka dengan suami.

“Suami pula yang marah kerana rahsianya diketahui isteri mudah melatah dan dengan mudah melafazkan talak tanpa berfikir panjang.

“Memang talak dibenarkan sebagai cara membubarkan perkahwinan secara baik tetapi ia boleh juga dianggap tempoh tinggal berasingan antara suami dan isteri,” katanya.

Hikmahnya adalah supaya ketika tempoh itu suami isteri boleh berfikir semula tentang kebaikan pasangan masing-masing di samping membuat perbandingan daripada segi layanan, kasih sayang, seksual dan kewangan.

”Sebab itu ada talak satu dan dua di mana pasangan boleh rujuk semula, tetapi jika talak tiga masalah besar akan timbul.

”Itulah sebabnya kita dengar ada lelaki yang sanggup membakar masjid kerana tidak mahu isterinya bernikah dengan lelaki lain di masjid itu.

“Mungkin lelaki ini menghadapi tekanan yang melampau, memendam rasa, fikiran pun buntu dan sanggup membuat sesuatu yang di luar kewarasan.

“Mungkin juga kerana dia terlalu sayangkan isterinya namun kerana sudah terlepas kata, tidak boleh ditarik balik,” katanya.

Pengajaran yang boleh diambil katanya, ialah sebelum suami hendak melafazkan talak dapatkan khidmat kaunseling dahulu agar tidak timbul penyesalan.

“Jangan salah guna kuasa talak. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Pasangan suami isteri muda sekarang apabila ada masalah, mudah sangat hendak bercerai.

”Saya mencadangkan agar masjid-masjid mengadakan khidmat kaunseling bagi membantu pasangan yang menghadapai masalah.

” Masjid kita masih belum ada khidmat ini sedangkan gereja sudah lama menyediakan khidmat tersebut dan mempunyai pusat kaunseling sendiri.

“Saya sendiri ada mengajar para paderi mengenai kaunseling rumah tangga semasa menjadi pensyarah di Universiti Malaya dahulu,” ujar Hushim mengakhiri perbualan.-Utusan Online.

Bila suami gila talak.

SIAPA sangka Rozita dan Adam (bukan nama sebenar) yang dikenali sebagai pasangan dua sejoli semenjak di kampus akhirnya bercerai pada ulang tahun ketiga perkahwinan mereka.

Silapnya ialahRozita terlambat pulang ke rumah. Adam sudah lama menunggu untuk makan malam di sebuah restoran yang telah siap ditempah beberapa hari sebelum itu bagi meraikan hari bahagia mereka.

Adam yang sememangnya panas baran, langsung tidak dapat mengawal kemarahan sehingga terus menjatuhkan talak ke atas isterinya.

Semenjak itu, Adam bagaikan gila talak di mana saban hari dia akan menganggu kehidupan Rozita yang masih lagi dalam idah.

Paling tidak boleh dilupa, suatu malam ketika sedang tidur Rozita merasa seperti ada lembaga yang sedang cuba mencumbuinya.

Dia yang terkejut lantas menolak lembaga itu lalu bingkas bangun dari katil dan ketika membuka lampu dia melihat lembaga itu adalah bekas suaminya, Adam.

Adam merayu-rayu supaya mereka berbalik semua tetapi Rozita yang masih dalam terkejut dan ketakutan terus berlari keluar dari rumah.

Bagaimanapun Adam yang ingin menyambung kembali ikatannya dengan Rozita akhirnya membawa hal itu ke mahkamah untuk diselesaikan.

Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad sememangnya mempunyai banyak kes yang berkaitan dengan isu rujuk yang dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor.

Kes Adam dan Rozita merupakan salah satu kes yang telah difailkan, di mana plaintif dan defendan telah pun bercerai talak satu pada tahun yang sama di mahkamah ini.

Berdasarkan fakta kes, Adam telah memohon pengesahan rujuk terhadap lafaz berbunyi ‘Rozita (bukan nama sebenar) saya rujuk awak’ telah dilafazkan kepada Rozita ketika masih dalam idah.

Plaintif pula tidak ingat tarikh dia melafaz perkataan itu dan cuma tahu ia berlaku pada waktu pagi di rumahnya.

Bagaimanapun plaintif dan defendan bersetuju lafaz itu telah disebut semasa tempoh idah defendan.

Defendan pula mempertikaikan lafaz plaintif kerana dia hanya mendengar plaintif menyebut ‘kita berbaik semula’ dan bukannya lafaz ‘Rozita saya rujuk awak’.

Dalam soal balas, defendan mengakui plaintif menyebutnya dalam keadaan sedar dan waras namun dia tidak bertanya plaintif apa maksud perkataan itu.

Berdasarkan keterangan defendan, sama ada rujuk itu sah ataupun tidak isunya dia tidak bersetuju merujuk semula (hidup semula sebagai suami isteri) dengan plaintif.

Sementara itu dalam alasan penghakiman, Wan Mahyuddin berkata, perkara rujuk ini diharuskan dalam hukum syarak di mana suami boleh merujuk isteri dalam tempoh idah rajie.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 228 yang bermaksud: “Dan suami-suami mereka adalah lebih berhak untuk mengembalikan (rujuk) mereka (isteri-isteri yang dicerai itu) kepada mereka pada waktu sedang dalam idah jika ingin berbaik.”

Oleh itu adalah sunat bagi suami melakukan rujuk apabila ia bermaksud untuk islah, bergaul dengan baik dan menghindari tingkah laku yang menyakiti isterinya.

Jika rujuk itu akan memudaratkan isteri maka perbuatan itu adalah haram seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 231 yang bermaksud; “Janganlah kamu rujuk kepada mereka untuk menyakiti (menyusahkan) mereka, dengan itu kamu akan melanggar ketentuan Allah terhadap wanita. Dan sesiapa yang melakukan demikian itu maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri.”

Berdasarkan kepada dalil di atas maka dapat difahami dalam ketetapan syarak bahawa rujuk adalah hak suami secara eksklusif selagi mana perempuan (isteri) yang dicerai dengan talak rajie itu masih dalam tempoh idah talak rajie.

Oleh itu apabila rujuk merupakan hak suami maka tidak disyaratkan bagi sah rujuk mendapat kebenaran atau keredaan isteri dan pengetahuannya bahkan tidak berhajat kepada persetujuan wali, kerana Allah memberi hak ini kepada suami.

Sungguhpun demikian adalah sunat diberitahu kepada pihak isteri bahawa ia (suami) telah merujuknya agar isterinya tidak berkahwin dengan orang lain selepas selesai idah nanti dan supaya tidak berlaku perbalahan dan pertikaian.

Jika berlaku lagi masalah selepas rujuk maka pihak isteri masih boleh berpisah dengan suami melalui penceraian bagi kali yang kedua atau dengan permohonan fasakh ataupun taklik.

Rujuk juga tidak boleh dibuat secara bergurau berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Tiga perkara yang sungguhnya tetap sungguh, bergurau main pun dikira sungguh iaitu berkahwin, talak dan rujuk.”

Di dalam kes ini dapatlah dibuat kesimpulan bahawa suami berhak merujuk defendan dalam tempoh idah.

Pihak defendan juga bersetuju plaintif pernah melafazkan “kita berbaik semula” dalam tempoh idah.

Walau bagaimanapun berlaku pertikaian dari segi lafaz kerana plaintif mendakwa lafaz sebenar rujuk ialah lafaz soreh iaitu ‘Rozita saya rujuk awak’ manakala defendan pula mendakwa lafaz plaintif merujuknya adalah lafaz kinayah berbunyi ‘kita berbaik semula’.

Sebab itulah timbulnya kekeliruan kepada pihak defendan sama ada lafaz ‘kita berbaik semula’ bermaksud rujuk ataupun tidak.

Wan Mahyuddin dalam keputusannya mengesahkan dan mensabitkan telah berlakunya rujuk di antara plaintif dan defendan di dalam tempoh idah.

Mahkamah memerintahkan rujuk cerai kali pertama ini hendaklah dibuat permohonan segera ke Pejabat Agama Islam untuk didaftarkan.-Utusan Online.

Apabila perempuan gila talak.

KEBIASAANNYA kaum perempuan selalu menceritakan bagaimana buruknya kaum lelaki bila gila talak, maksudnya masih tergila-gilakan isteri yang diceraikan.

Tetapi bagaimana pula kalau perempuan yang gila talak? Minggu ini Bro nak ceritakan mengenai seorang kawan Bro yang berkahwin dengan seorang duda terus diganggu oleh bekas isteri lelaki berkenaan.

Pelbagai usaha dilakukan oleh perempuan tersebut termasuklah menuduh kawan Bro tu perampas suami orang sedangkan hakikatnya lelaki itu bertemu dengan kawan Bro selepas beberapa tahun bercerai.

Maknanya, perceraian yang berlaku bukan disebabkan kehadiran kawan Bro tetapi kerana kegagalan perempuan berkenaan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri sehingga memungkinkan perceraian berlaku.

Bro bukan hendak memihak kepada kawan Bro tetapi sebagai manusia kita tidak boleh menafikan fakta kerana yang benar itu benar, yang salah itu salah.

Akibat gangguan yang dilakukan oleh bekas isteri tersebut, kawan Bro terpaksa beberapa kali menukar nombor telefonnya, kalau tidak, siang malam SMS yang bukan-bukan diterima olehnya.

Bro hairan kenapa perempuan itu hendak ganggu kawan Bro tersebut sedangkan semasa kahwin dulu tidak mahu layan suami betul-betul, bila dah bercerai mulalah nak jadi ‘hantu raya tak bertuan’ kacau kehidupan orang lain.

Mungkin perempuan itu tidak boleh terima hakikat kerana anak-anaknya menerima dengan baik ibu tiri mereka, apatah lagi kawan Bro layan anak-anak tirinya bagaikan anak kandung sendiri.

Lanjutan itu tidak wujud sekumit pun perasaan benci anak-anak tiri tersebut kepada emak tiri mereka. Sepatutnya perempuan yang berkenaan bersyukur kerana biar pun dia sudah tidak ada jodoh dengan suaminya tetapi anak-anaknya hidup bahagia.

Tetapi malangnya, perempuan berkenaan tidak puas hati dan seperti biasa perasaan benci kaum hawa lebih dahsyat daripada kaum lelaki sebab itulah dia ganggu kehidupan bahagia kawan Bro itu.

Sebab itulah Bro hendaklah nasihat kaum perempuan, apabila bergelar isteri jagalah rumah tangga dengan sebaik-baiknya. Berusahalah menjadi isteri yang terbaik di muka bumi Allah SWT ini. Jangan bertindak ikut emosi apabila masalah berlaku sebaliknya selesailah dengan cara sebaik-baiknya.

Bro selalu memperingatkan kawan-kawan perempuan Bro supaya dalam apa juga tindakan jangan sampai suami, tunang atau teman lelaki mereka ‘pejam mata’.

Maksud Bro, apabila seseorang lelaki ‘pejam mata’ maka dia boleh melakukan tindakan di luar dugaan termasuklah memutuskan hubungan tanpa mahu fikir apa-apa lagi.

Bro sudah saksikan bagaimana kawan-kawan lelaki Bro yang baik, penyabar dan penyayang akhirnya seolah-olah menjadi ‘lelaki paling kejam’, bukan kerana mereka mahu bersikap demikian tetapi akibat terpaksa.

Segala-galanya kerana pasangannya mereka bertindak di luar batasan yang menguji kesabaran mereka ke tahap maksimum.

Ada kawan Bro yang mempunyai anak lima dah besar-besar belaka pun bercerai, segalanya kerana isteri tidak mahu berubah perangai dan terus melakukan kesalahan yang sama sejak awal perkahwinan lagi.

Kaum wanita kena ingat bahawa perkahwinan bukanlah bermakna mereka boleh melakukan apa sahaja kepada suami mereka, jangan ingat apabila suami mereka baik dan sabar, lelaki tersebut akan terus bersabar dengan kerenah atau perangai buruk mereka.

Perkara paling bahaya apabila si suami membandingkan perangai isteri dengan wanita-wanita yang dia temui sama ada di pejabat atau ketika melaksanakan urusan kerja.

Apabila perbandingan itu dilakukan ia permulaan kepada keretakan rumah tangga, apatah lagi apabila si suami merasakan di luar lebih damai berbanding balik ke rumah yang bagaikan berada dalam ‘kandang singa betina’.

Justeru kepada perempuan-perempuan yang gila talak atau telah bercerai kerana kesilapan sendiri tak payahlah hendak menganggu gugat kehidupan suami anda, biarlah dia bahagia dengan orang lain.

Kalau rasa bekas suami tidak adil dalam pembahagian nafkah biar mahkamah selesaikan, tak usah buat kerja gila dengan menyerang atau menganggu isteri atau pasangan baru bekas suami.

Sedarlah perempuan sememangnya kelompok yang paling ramai melupakan pepatah, ‘‘menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.”

Sebab itulah, mereka bertindak ikut perasaan seolah-olah merekalah paling hebat termasuk dalam urusan rumahtangga sehinggakan si suami kadang kala tidak dihormati langsung.

Ini belum lagi termasuk perempuan yang gunakan ‘ilmu penunduk’ untuk pastikan si suami ikut cakap mereka dan tidak berani menegur kesalahan mereka.

Namun kaum perempuan kena ingat, sesuatu perbuatan yang salah dan tidak diredai oleh Allah SWT tidak akan kekal lama, apabila tiba masanya mereka pasti akan tewas dengan kehendak-Nya.-Utusan Online.

Janda gila talak.

KUALA TERENGGANU: “Dulu saya garang dan suka marah suami tapi selepas diceraikan saya amat menyesal. Kini saya tergila-gilakan bekas suami biarpun dia sudah berkahwin lain.

“Untuk mengubat rindu, saya minta kain pelekat dan tuala bekas suami untuk hidu baunya,” kata seorang janda hanya mahu dikenali sebagai Noor.

Wanita berusia 49 tahun itu mengaku perceraian dengan suaminya dua tahun lalu berpunca daripada kesilapannya sendiri yang tidak mahu dikongkong dan suka memarahi suami biarpun ketika itu dia bekerja sebagai guru mengaji al-Quran.

Noor berkata, sikapnya itu menyebabkan rumah tangganya sentiasa diselubungi masalah hingga dia nekad meminta cerai daripada suaminya.

“Selepas bercerai, saya hanyut dalam kehidupan melalaikan seperti sering ke pusat karaoke mengubati kekecewaan,” katanya yang dikurniakan lima cahaya mata hasil perkongsian hidup itu.Blog GEMPAR.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri. Buang yang keruh ambil yang jernih, baru teguh peribadi.

Asam garam berkeluarga hendaklah diharungi dengan tenang. Jangan bermudah-mudah bermain dengan cerai takut sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Advertisements
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s